Tuesday 3 April 2012

Makassar pintu gerbang Indonesia Timur


RAMAI yang tertanya-tanya apa istimewanya Makassar yang mendapat jolokan Pintu Gerbang Indonesia Timur dibanding dengan kota lain seperti Bali, Bandung atau Medan.

Sebenarnya tidak ramai menyedari Makassar memiliki pelbagai tarikan pelancong seperti pantai Losari, air terjun Bantimurung, Benteng Rotterdam dan terkini Trans Studio, antara taman tema terbaik di rantau ini.

Malah tidak lengkap perjalanan ke kota ini jika tidak menikmati keindahan Tana Toraja dan Malino yang disebut sebagai Puncak Makassar.

Pertama kali menjejakkan kaki di Makassar, anda pasti kagum melihat lapangan terbangnya yang tersergam hasil kerja tangan anak tempatan.

Setelah merehatkan diri apa kata ke Pantai Losari – satu-satunya pantai di tengah kota yang dulunya terkenal sebagai ‘meja terpanjang’ dunia kerana di sepanjang pantai banyak gerai menjual beraneka makanan.

Namun sekarang, penjaja makanan dipindahkan ke lokasi baru bagi memberi keselesaan kepada pengunjung menikmati dan merakamkan keindahan matahari terbenam.

Kunjungan ke Benteng Rotterdam yang dibangunkan pada tahun 1545 oleh Raja Gowa ke X iaitu Tunipallangga Ulaweng, pasti mengimbau sejarah penahanan Pangeran Diponegoro yang dibuang penjajah Belanda dari tanah Jawa ke Manado dan akhirnya ditempatkan di sini.

Benteng Rotterdam yang letaknya di tengah kota, sekarang menjadi muzium.

Penat di Benteng Rotterdam, anda boleh merehatkan minda di Pulau Kayangan dan Pulau Somalana dengan menaiki bot yang hanya mengambil masa 15 minit.

Di sana anda dapat menyertai pelbagai aktiviti air seperti jet ski, memancing, menyelam dan menikmati alunan muzik.

Jika mahu menikmati keindahan malam di pulau, anda boleh bermalam di calet atau hotel di sana.

Anda juga boleh ke
Pantai Tanjung Bira yang terkenal di Sulawesi Selatan dengan pantainya yang putih, bersih dan air lautnya jernih menjadikannya tempat kunjungan pelancong asing dari pelbagai negara berkunjung untuk berlibur.

Tidak sempurna rasanya jika tidak ke Air Terjun Bantimurung yang terletak 45 kilometer di sebelah utara kota Makassar di Kabupaten Maros yang mengambil masa sejam untuk ke sana.

Selain air terjun, ia menjadi habitat pelbagai spesies kupu-kupu sehingga mendapat jolokan ‘Kingdom of Butterfly’ oleh penjajah Belanda. Jangan lupa membawa kamera untuk merakamkan aksi kupu-kupu yang tidak pernah ditemui di tempat lain.

Bagi yang gemarkan kawasan nyaman dan dingin, jom ke Malino! Di sana anda dapat menikmati keindahan alam seperti air terjun, kebun sayur dan pokok pain, menunggang kuda serta menikmati sirap markisa yang menjadi komoditi utama Makassar.

Kemudian jangan lupa ke Tana Toraja dengan pemandangan alam yang indah disertai kebudayaan setempat yang unik.

Apa yang pertama terlintas di benak ketika mendengar tentang Tana Toraja? Kubur batu, Tongkonan atau cerita berbagai ritual dan kesan seram? Apa pun bayangan anda, Tana Toraja merupakan tapak peradaban budaya yang sangat kaya dan mempesona.

Bagi yang sukakan kemodenan, boleh ke Trans Studio iaitu taman tema dalam bangunan yang menawarkan pelbagai kelainan. Tempat ini memiliki lebih 20 jenis permainan dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti hotel, restoran dan dermaga.

Bagi yang gemar membeli-belah, Jalan Somba Opu yang masih mengekalkan bangunan tradisi adalah syurga mereka yang terkenal sebagai pusat penjualan pelbagai macam ole-ole seperti sutera, perak dan emas.

Bagi mereka yang gemar mencuba hidangan baru, apa kata cuba Coto Makassar, Pisang Epe, Konro Bakar, Mie Titi, Es Pisang Ijo dan kesegaran makanan laut yang lazat.

Sebenarnya masih banyak lagi juadah Makassar yang harus dicicip sehingga anda tidak cukup masa merasai semua.

Yang pasti, kunjungan anda ke Makassar dianggap tidak lengkap jika tidak membeli kacang disko dan sirap markisa bagi dibawa pulang sebagai ole-ole.

Selain Makassar AirAsia juga terbang ke 13 destinasi Indonesia lain seperti Yogyakarta, Jakarta, Semarang, Medan, Bali, Surabaya, Bandung, Banda Aceh, Padang, Balikpapan, Palembang, Pekan Baru dan Solo. Untuk tempahan layari www.airasia.com

No comments:

Post a Comment